Assalamualaikum... setiap daripada insan yang mengucapkan kalimah syahadah itu perlu adanya 10 sifat untuk menjadi dirinya seorang individu muslim, iaitu :-
1. Salimul Aqidah (akidah yang sejahtera) -seorang itu perlu memahami dan berpegang teguh kepada kalimah suci Syahadatain لااله الاالله yang telah membuktikan bahawa dirinya telah beriman kepada Sang Pencipta yang Maha Kuasa, Allah S.W.T dan pesuruhnya Saidina Rasulullah S.A.W.
2. Sahihul Ibadah (ibadah yang sahih) -setiap perkara yang dilakukan mesti mempunyai tujuan dan niat yang betul berlandaskan syarak kerana niat tidak menghalalkan cara. Setiap perkara yang dimulakan dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحم akan dikira sebagai ibadah dan sudah pasti setiap ibadah yang dilakukan mestilah ikhlas dan betul caranya, jika salah satunya tiada maka ibadah tersebut tidak akan diterima.
3. Matinul Khuluq (akhlak yang mantap) -manusia yang paling sempurna akhlaknya adalah akhlak Saidina Rasulullah S.A.W. , kita manusia biasa pasti tidak dapat menandingi akhlak baginda tetapi kita telah diberikan dua benda untuk dijadikan rujukan dan menjadikannya ikutan iaitu al-Quran dan akhlak yang ditunjukkan baginda. Akhlak kita adalah al-Quran dan jika kita mengikuti apa yang terdapat di dalamnya pasti akhlak kita akan sempurna sepertimana yang ditunjukkan Saidiina Rasulullah S.A.W.
4. Qadiran al Kasbi (mampu bekerja) -kita sekiranya mampu untuk menyiapkan sesuatu perkara itu kita seharusnya menyiapkannya waktu itu juga untuk mengelakkan daripada sikap menangguh kerja yang akhirnya akan membebankan diri sendiri.
5. Mutsaqqafal Fikri (berpengetahuan) -kita sepatutnya menjadi pakar dalam bidang yang diceburi oleh kita. Peka dengan keadaan sekeliling juga amat penting kerana untuk memajukan diri sendiri kita perlu arif dalam perkara yang sedang berlaku disekeliling kita. Dengan membaca tafsir al-Quran, hadis dan sirah kita akan mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan yang penting di dunia dan juga di akhirat.
6. Qawiyyul Jism (tubuh badan yang cergas) -memiliki tubuh badan yang sihat itu amat penting untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Untuk mendapatkannya kita perlu terlebih dahulu mempunyai tubuh badan yang bersih dan berpakaian dengan pakaian yang bersih. Tambahan pula kepada daie'-daie' amat penting sekiranya memiliki tubuh badan yang sihat dan cergas untuk memudahkan lagi kita menyampaikan dakwah dan memudahkan lagi orang lain menerima dakwah kita.
7. Mujahadah ala Nafsi (mampu melawan nafsu) -musuh manusia selain syaitan adalah nafsu, nafsu sekiranya terlalu diikutkan akan mendatangkan kemudaratan. Menjauhi perkara-perkara yang haram itu wajib kepada setiap umat Islam kerana perkara haram itu perkara yang dibenci oleh Allah S.W.T dan cara untuk mengelak perkara haram itu adalah dengan melawan nafsu. Melawan nafsu juga dikira sebagai jihad.
8. Munazzamun fi Syu'unihi (tersusun dalam urusan) -kita pasti mahu memudahkan urusan atau tugas kita, tetapi urusan atau tugas kita itu dilakukan dengan keadaan yang tidak tersusun dan berceramuk maka ia akan menyukarkan lagi urusan atau tugas. Untuk memastikan pekerjaan kita tersusun maka kita perlu menyusunnya dahulu sebagai contoh dengan membuat jadual harian.
9. Haarithun ala Waqtihi (menjaga waktu) -jika kita bijak menjaga waktu kita maka hari-hari kita akan dilalui dengan sempurna dan mudah. Kita perlu memanfaatkan waktu dengan sebaiknya kerana waktu itu tidak dapat berpatah semula.
10. Nafi'un li Ghairihi (bermanfaat kepada orang lain) -setiap dari kita ada haknya sendiri keatas orang lain begitu juga orang lain keatas kita. Jika kita seorang anak kita perlu menunaikan hak ibu-bapa kita kerana itulah buktinya kasih sayang kita kepada mereka dan balasan keatas jasa mereka membesarkan kita. Kita bukan sahaja perlu membantu saudara mara atau kenalan kita, kita juga perlu membantu orang yang kita tidak kenali sekiranya dia memerlukan bantuan daripada kita. jika kita tidak malu untuk membantu orang lain nescaya orang lain juga tidak malu untuk menghulurkan bantuan kepada kita sewaktu memerlukannya.
10 sifat ini amat penting dan sepatutnya ada dalam diri setiap umat Islam kerana inilah yang akan membuktikan sama ada kita benar-benar beriman kepada Allah S.W.T. ataupun tidak. Wassalam...
Si Pejuang Ilmu,